Siapa yang dapat menolak cheeseburger bersama french fries? Sayangnya banyak ramuan adalah makanan terproses. Berapakah jenis makanan terproses yang anda dapat kenalpasti dalam foto di atas? |
Malaysia merupakan antara destinasi tarikan utama di rantau ini sebagai 'syurga makanan'. Masyarakat yang berbagai latar belakang di Malaysia menjadikan ia 'melting pot' untuk variasi makanan hasil daripada asimilasi rentas budaya. Kita memang memaknai ungkapan: We love food. Selain daripada makanan tradisional (seperti nasi lemak, chapati, char kuey teow dan seumpamanya) sejenis makanan 'tradisi' alaf baru turut menjadi kesukaan rakyat Malaysia, iaitulah:
Makanan segera (fast food).
Hal ini terbukti kerana walaupun masih dalam bulan Ramadhan, rangkaian restoran makanan segera hampir sekali tidak putus-putus pelanggan yang beratur di laluan pandu-lalu (drive-thru). Ditambah pula dengan strategi pengiklanan yang menggiurkan di pelusuk platform maya menjadikan ramai yang mengidam-idamkannya sebagai juadah berbuka. Apa yang menjadi fokus di sini adalah jenis makanan yang disediakan - iaitu makanan terproses. Makanan terproses, tidak terhad kepada rangkaian makanan segera, bahkan lebih meluas, telah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita. Adakah ianya baik untuk kesihatan? Baik, untuk penulisan kali ini, kita akan membincangkan tentang:
Makanan terproses (processed food).
Makanan terproses telah menempati diet makanan seluruh lapisan masyarakat kita. Namun, apakah kesan memakannya? Sebelum kita pergi lebih mendalam, mari kita kupaskan konsep makanan terproses terlebih dahulu.
Apakah dia makanan terproses?
Konsep makanan terproses tidak sepi dari perbahasan dan pertikaian. Bagaimanakah yang dikatakan makanan terproses itu? Adakah hanya bahan mentah sahaja dianggap makanan tidak terproses? Bagaimana pula dengan ulam yang dicelurkan? Bukankah ianya telah melibatkan suatu proses? Bagi menjawab persoalan ini, saintis dan pakar nutrisi mengkelaskan bahan makanan kepada sistem 4-peringkat disebut sebagai NOVA. NOVA, merupakan satu istilah nama (bukan akronim) yang mengklasifikasikan kesemua makanan dan produk makanan kepada 4 kumpulan. NOVA merupakan pengkelasan yang diiktiraf serta digunapakai dalam penyelidikan makanan, penggubalan polisi, dan diaplikasikan oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Food and Agricultur Organization of the United Nation (FAO) dan Pan American Health Organization. Pengkelasan NOVA mengambil kira proses yang terlibat: (i) Proses kimia; (ii) Proses fizikal; (iii) Proses biologikal setelah makanan tersebut masuk ke dalam latar pemprosesan (keluar dari ciri semulajadi). Pengkelasan adalah sebagaimana berikut:
NOVA Kumpulan 1: Makanan yang tidak diproses atau diproses minimal
Kategori ini adalah jenis makanan iaitu bahagian tumbuhan (biji, buah, daun, batang, akar) atau haiwan (otot, telur, susu) yang boleh dimakan serta fungi (cendawan), algae dan air selepas dikeluarkan secara semula jadi. Ianya melibatkan proses yang paling minimum, maka ianya masih dianggap makanan asli yang hanya melibatkan proses seperti pembuangan ranting, pengeringan, pengisaran, peretakan, penapisan, pembakaran, pendidihan, pempasteuran, penyejukan, pembekuan, peletakan dalam bekas, pek vakum atau penapaian tanpa alkohol. Proses-proses ini tidak melibatkan sebarang penambahan bahan seperti garam, gula, minyak atau lemak terhadap makanan tersebut. Contoh bagi kategori ini adalah: beras, rempah ratus, kekacang, makanan laut.
NOVA Kumpulan 2: Bahan ramuan kulinari yang diproses
Kategori ini merupakan makanan yang diambil dari Kumpulan 1 atau dari sumber semulajadi melalui proses pressing, penapisan, pengisaran, kering sembur (spray drying).
NOVA Kumpulan 3: Makanan terproses
Kategori makanan ini adalah produk makanan yang dihasilkan dengan menambahkan gula, minyak, garam atau salah satu makanan kumpulan 1 atau 2. Kebanyakan makanan terproses mempunyai 2 atau 3 bahan ramuan. Proses-proses yang terlibat adalah seperti pengawetan, kaedah memasak, dan penapaian tanpa-alkohol.
NOVA Kumpulan 4: Produk makanan dan minuman ultra-proses
Makanan kategori ini adalah formulasi industri yang pada kebiasaannya memiliki lima (5) atau lebih bahan ramuan. Hal ini termasuklah gula, minyak, lemak, garam, anti-oksidan, penstabil dan pengawet.
No comments:
Post a Comment