Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Showing posts with label Isu Halal Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Halal Semasa. Show all posts

Monday, 31 August 2020

Penyeludupan Lemak Khinzir dan Ancaman Terhadap Rantaian Bekalan Makanan Halalan Tayyiban

Dunia kini masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19. Kemunculan wabak baharu ini umpama luka lama berdarah kembali, menambahkan lagi krisis dunia yang semakin hari semakin merancukan. Banyak negara terkesan dengan penularan wabak ini, termasuklah Malaysia. Kita dapat melihat sendiri dengan 'ayn al-baṣīrah bagaimana kerajaan di seluruh dunia bertungkus-lumus untuk membendung wabak COVID-19 dari terus merenggut nyawa ramai manusia. Selain dari aspek keselamatan insan, wabak ini turut mengakibatkan implikasi secara langsung terhadap kestabilan ekonomi, kalau boleh disebutkan disini sebagai 'nyawa kedua' manusia seluruhnya dek kerana berlakunya perubahan drastik tak terjangkakan menyebabkan adanya industri yang tidak dapat bertahan, lantas menemui pengakhirannya walaupun sekian lama telah teguh berdiri. Apa yang ingin disebutkan di sini adalah, kita perlu mengambil ibrah dan kewaspadaan di atas musibah wabak ini. Kewaspadaan yang dimaksudkan juga merujuk kepada kemungkinan ancaman yang tidak menentu atau tidak belum pernah berlaku, disebut dalam Bahasa Inggerisnya, 'unprecendeted' dalam pelbagai aspek. Justeru, aspek yang ingin dikupas di sini adalah tentang keadaan industri halal/rantaian bekalan halalan tayyiban; apakah sudah wujud ancaman tak terjangka? 

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita penemuan sebuah konsainmen yang memuatkan sejumlah besar lemak khinzir di pelabuhan Butterworth. Muatan tersebut dilaporkan mengandungi sebanyak 16,200 kg lemak khinzir oleh pihak berkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Ini satu jumlah yang besar! Lemak khinzir berkenaan dipercayai akan digunakan sebagai ramuan mentah pembuatan biskut. Insiden ini pastinya mencetuskan kegusaran dari kalangan pengguna Muslim di Malaysia dan berharap pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci serta melaksanakan langkah pengawalan yang ketat agar keberadaan konsainmen ini tidak mencemarkan rantaian bekalan halalan tayyiban dalam negara kita. Apapun, tahniah kepada pihak berkuasa khususnya MAQIS yang bertindak cekap dan tangkas 'menghidu' anasir yang boleh memberi ancaman terhadap integriti halal dalam bekalan makanan halalan tayyiban. 

Tidak terhenti dengan kes konsaimen lemak khinzir di Butterworth, kita dikejutkan lagi dengan berita  serbuan terhadap sebuah premis yang dipercayai gudang simpanan melibatkan rampasan sejumlah produk bijirin dipercayai mengandungi ramuan berasaskan khinzir di Sungai Buloh. Menurut pihak  berkuasa, KPDNHEP, ianya dipercayai dijual secara atas talian. Pihak berkuasa telah melaksanakan tindakan yang begitu cekap dengan menumpaskan sindiket terlibat, jika tidak, mungkin sekali produk-produk ini dipasarkan dan dibeli oleh pengguna Muslim yang terkeliru dan tidak menyedarinya kerana  bercampur dengan produk halal lain di pasaran. Ternyata, kedua-dua kes ini menunjukkan bahawa sudah wujud bentuk ancaman yang tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana ia melibatkan integriti halalan tayyiban di setiap peringkat rantaian bekalan makanan halal. Integriti halal di dalam rantaian bekalan makanan adalah sangat kritikal dan perlu dipelihara. Maka persiapan utama bagi melindungi rantaian bekalan makanan halal adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Barisan pertama bagi melindungi integriti halal daripada dicemari oleh unsur-unsur yang haram adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Sungguhpun masih belum ada lagi Akta Halal, namun peruntukan undang-undang melalui akta sedia ada yang dikongsikan punca kuasanya dengan berbagai agensi seperti JAKIM, KPDNHEP, MAQIS, KKM telahpun memiliki mekanisme yang ampuh untuk membanteras sebarang ancaman terhadap integriti halal. Kedua, persiapan yang perlu dilaksanakan adalah menggalakkan lagi industri untuk mendapatkan sijil halal. Hal ini penting, kerana pihak pengeluar atau pembuat produk makanan itu sendiri perlu memainkan peranan penting dalam memastikan integriti halal di peringkat dalaman telah dikawal selia dengan rapi. Ini diperkasakan dengan kewujudan sistem jaminan halal (halal assurance system - HAS) yang menjadi kemestian[1] untuk dibangunkan oleh industri makanan yang memohon sijil halal. Justeru, setelah dipersijilkan halal industri bertanggungjawab untuk memastikan segala produk/jenamanya itu sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di dalam MS1500:2019 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. 

[1] Mengikut saiz industri sebagaimana yang ditetapkan oleh MPPHM. 

Sumber laporan:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/16-tan-lemak-babi-dari-belanda-dirampas-256286
https://www.kosmo.com.my/2020/08/28/204-bijirin-berasaskan-babi-dirampas-kpdnhep/
https://www.utusan.com.my/nasional/jenayah/2020/08/16-tan-lemak-babi-untuk-buat-biskut-dirampas/

Friday, 10 August 2018

Catatan Ringkas Mengenai Isu Penularan Pewarna Dye Carmine Cochineal

Berkenaan isu penularan gambar yang mendakwa bahawa pewarna dye carmine yang berasal dari makhluk Allah bernama cochineal, penulis berpandangan:
  • Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan pencerahan melalui medsos bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
「"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Bahawan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah perpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).
  2. Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha' sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir.
  3. Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan. 」
  • Bagi penulis, terdapat beberapa isu sebenarnya, iaitu berkaitan dakwaan gambar yang ditularkan. Penulis tidaklah meneliti secara terperinci, namun seharusnya kesahihan gambar berkenaan dan konteks perlu didapatkan melalui pemilik atau individu berkenaan. 
  • Isu kedua, adalah gambar yang dilampirkan sekali iaitu gambar suatu produk perwarna makanan yang dipasarkan meluas di negara ini dan telah disijilkan halal. Gambar produk tersebut pada hemat penulis, tiada kaitan dengan isu yang dicetuskan kerana pewarna dye carmine yang diproduksi adalah "artificial" iaitu tiruan. Pewarna tiruan ini adalah berasaskan kepada bahan petroleum, dan bukannya makhluk Allah bernama cochineal sebenar. Jadi, tiada masalah dan tiada kaitan di situ. Walaubagaimanapun, apabila diletakkan sekali bersama gambar pertama, ia boleh menyebabkan kekeliruan. Lebih-lebih lagi penggunaan medsos masa kini cenderung untuk melihat "headline" atau zahir yang tertera, berbanding usul periksa sebelum sebar. Maka, siapapun yang mula menghantarkannya, berkemungkinan (melalui husnu al-dzan) adalah untuk memberikan contoh semata-mata, akan tetapi hakikatnya tindakan tersebut boleh menyebabkan timbul persepsi lain terutama terhadap pengeluar produk berkenaan. Perkara ini seharusnya dielakkan.
  • Apapun, dalam kes ini, para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak JAKIM/JAIN agar tidak berlaku salah faham.
  • Setiap pengguna dan netizen khususnya perlu menginsafi firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6: 
(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksydnya: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Wallahua'lam.
- Muhamad Afiq 

(Transkrib) HALAL PROFESIONAL – “TENTANG PENSIJILAN HALAL” | HALAL PROFESIONAL

Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=_U7NVGyDbXg Panel: Dr Mohd Aina Khotib *Perhatian: Transkrib telah disunting dan diedit untuk kese...