Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Wednesday, 25 June 2025

Kenali Perancangan Strategik Halal: HIMP 2030 dan DHN 2035


 Halal From Farm-to-the World 

Industri halal sedang berkembang pesat dan kini sudah bertapak di persada global. Bermula dari pengenalan sijil dan logo halal, ia telah menjadi satu bentuk pengiktirafan yang berprestij terhadap jaminan kualiti serta lambang pematuhan syariah dalam penghasilan produk. Perkembangan industri halal tidak lagi tertumpu kepada produk makanan, malah kini sudah berkembang kepada farmaseutikal, barangan kepenggunaan, peranti perubatan, dan perkhidmatan. Pencapaian pensijilan Halal Malaysia turut memberangsangkan dan dilihat sebagai perintis di peringkat dunia di samping dihormati warga dunia sebagai entiti pensijilan yang mempunyai kekuatan yang tersendiri dan juga dikenali sebagai lambang pensijilan yang utuh dan wibawa. Pencapaian ini semua adalah hasil dari kegigihan dan sumbangan pelbagai pihak, dalam merangka dan menyusun pelan strategik, governans/tatakelola halal yang terdiri dari agensi kerajaan, pemain industri, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, pakar-pakar di lapangan dan berbagai lagi yang sentiasa memperbaharui dan menambahbaik piawaian halal negara. Maka, adalah cukup bermanfaat bagi kita untuk mengetahui serba sedikit beberapa bentuk perancangan strategik halal yang telah atau sedang dibangunkan agar dapat kita melihat betapa tingginya wawasan negara dalam memartabatkan pensijilan halal serta memandu hala tujunya. Dalam penulisan ini, hanya diperkenalkan kepada dua (2) sahaja dasar atau perancangan strategik yang telah diperkenalkan iaitu: Halal Industry Master Plan (HIMP) dan Dasar Halal Negara (DHN). 

1. Halal Industry Master Plan (HIMP 2030)/ Pelan Induk Industri Halal 2030

Pelan Induk Industri Halal 2030 telah dilancarkan pada Mac 2023 dan dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa (Ministry of International Trade and Industry-MITI) dan agensi Halal Development Corporation (HDC) bertujuan bagi memangkin industri halal negara menjadi peneraju global. Ianya turut bertujuan bagi memastikan pencapaian industri halal negara mencapai kesejahteraan pertumbuhan sosio-ekonomi negara. Selain itu, ia dilaksanakan bagi memastikan ekosistem halal yang dibangunkan dapat memanfaatkan dan mengoptimumkan potensi dan kekuatan yang ada agar kukuh sehingga menjelang tahun 2030. HIMP merupakan penyelarasan di bawah dasar New Industrial Master Plan (NIMP) yang memfokuskan kepada pembangunan industri negara. Bagaimana HIMP 2030 digerakkan? Melalui cetak-biru (blueprint) pemacuan industri halal dapat digerakkan melalui  (1) membangunkan kerangka strategik: Iaitu menyusun enam sasaran utama seperti polisi, pasaran, kualiti, infrastruktur, dan penyertaan bumiputera; (2) mengenalpasti key enabler: iaitu mengenalpasti komponen-komponen penting yang dapat menghubungkan di antara kerangka strategik seperti teknologi jejak kesan, bakat halal, standard dan pensijilan, kewangan Islam dan logistik; (3) mengusulkan inisiatif 'super catalytic': iaitu merencana inisiatif seperti kerangka kerjaya halal, pembangunan perusahaan bumiputera, zon digital muamalat, (4) menubuhkan penggerak iaitu Majlis Pembangunan Industri Halal: iaitu satu jawatankuasa yang terdiri dari pelbagai agensi serta memiliki empat jawatankuasa tindak seperti pensijilan dan penguatkuasaan [diketuai oleh JAKIM], pembangunan standard [diketuai oleh Jabatan Standard Malaysia], pembangunan industri dan keusahawanan [diketuai oleh SMECorp], pengantarabangsaan [diketuai oleh MITI]  dan (5) menetapkan 'key indicator' menjelang tahun 2030 iaitu pencapaian kepada: hasil pelaburan kumulatif HALMAS, keuntungan ekonomi, nilai eksport, output kasar (gross output) dan jumlah tenaga kerja halal. Secara ringkasnya, tujuan utama HIMP adalah menguatkan dan mengantarabangsakan ekosistem halal di Malaysia melalui penilaian semula dan memperbaiki inisiatif-inisiatif sedia ada, begitu juga memperkenalkan inisiatif berimpak tinggi selari dengan hala tuju kerajaan, di samping mempasakkan kapital melalui peluang 'leverage' kekuatan infrastruktur industri halal Malaysia ke arah menjadi peneraju industri halal di peringkat global. 

2. Dasar Halal Negara (DHN) 2035

Cadangan mula diusulkan bagi membangunkan Dasar Halal Negara adalah pada tahun 2017. Dasar Halal Negara berada di peringkat pembangunan di mana ia melibatkan 3 Fasa yang mana telah bergerak semenjak tahun 2024. Secara ringkasnya antara faktor kepada pembangunan Dasar Halal Negara adalah menetapkan satu dasar utama yang menggerakkan kesemua aspek halal yang ada dalam negara termasuklah pensijilan, prosedur, standard, perundangan, penguatkuasaan, pensijilan luar negara, penyelidikan dan pembangunan, makmal - dengan kata lain ianya menjadi dasar yang memayungi semua pembangunan halal. Ia bertujuan menjadi strategi jangka masa panjang negara untuk mewujudkan ekosistem halal yang lebih holistik dan kondusif dan mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global. Secara ringkasnya fungsi pembangunan dasar ini adalah (1) meneliti jurang dan kelompongan yang ada dalam setiap aspek ini supaya satu dasar yang tetap dapat dijadikan pasak utama (2) membuat penilaian supaya penyelarasan dapat dilaksanakan di setiap aspek. Sebagaimana dalam lapangan lain, seperti pendidikan kita ada Dasar Pendidikan Kebangsaan, atau dalam pertahanan kita ada Kertas Putih Pertahanan - maka adalah wajar kepada satu dasar untuk halal memandangkan ianya kini sudah berkembang pesat. Agensi yang diamanahkan bagi inisiatif ini adalah JAKIM/JPM manakala bagi tujuan kajian pembangunan Dasar Halal Negara, mandat diberikan kepada Universiti Malaya bagi menerajui penyelidikan yang melibatkan pelbagai pihak: agensi, institusi pengajian tinggi, pemain industri, pengguna mengikut kepada fasa-fasa kajian yang ditetapkan untuk mengumpulkan maklumat dan data di lapangan secara tuntas. Garis masa pelaksanaan ini adalah dijangkakan pada 2024-2026 melibatkan (1) Fasa Kajian, (2) Dialog Awam, (3) Kajian Lapangan Luar, (4) Focus Group Discussion, (5) Libat Urus, (6) Pembentangan MKI, (7) Mesyuarat Majlis Raja-Raja, (8) Mesyuarat Jemaah Menteri dan (9) Pelancaran DHN 2035. Terdapat 11 komponen utama yang menjadi asas kepada Dasar Halal Negara iaitu:

  1. Dasar baharu sistem perundangan dan kawal selia
  2. Pensijilan Halal Malaysia dan penyelarasan bersama pihak agama Negeri
  3. Pengiktirafan pihak berautoriti dan badan pensijilan halal luar negara
  4. Teknologi dan inovasi
  5. Kepenggunaan
  6. Pengurusan produk dan perkhidmatan import
  7. Pandangan hukum dan fatwa
  8. Penyelidikan halal dan analisis makmal
  9. Bakat halal
  10. Manfaat dan pulangan ekonomi
  11. Pemerkasaan industri halal dalam kalangan bumiputera
Secara ringkasnya, Dasar Halal Negara meninjau kepada perkara-perkara seperti berikut antaranya: potensi kepada keperluan undang-undang spesifik halal, menyediakan hala tuju yang jelas kepada pembangunan halal negara, menjadi penanda aras kepada badan-badan pensijilan halal luar negara, menyokong industri halal yang menjadi tonggak pensijilan halal, penyelarasan lebih 300 agensi yang berkait dengan governans halal, penetapan penanda aras dalam penyelidikan makmal, penggunaan teknologi dan inovasi dan penanda aras pembangunan ekonomi halal kepada negara. Maka dengan wujudnya Dasar Halal Negara, ia sangat strategik dalam mengekalkan posisi Malaysia sebagai penghulu kepada portfolio halal di dunia. 

Maka, secara ringkasnya berdasarkan kepada kedua-dua dasar ini dapat disimpulkan bahawa fokus HIMP adalah kepada mengoptimumkan potensi industri halal sama ada dalam dan luar negara kepada kemakmuran sosio-ekonomi negara manakala fokus DHN pula adalah ke arah membentuk dasar utama (yang menjadi identiti nasional) kepada semua aspek pembangunan halal negara dan memposisikan Halal Malaysia sebagai satu pengiktirafan dunia. 

Afiqhalal 2025

No comments:

Post a Comment

Kenali Perancangan Strategik Halal: HIMP 2030 dan DHN 2035

 Halal From Farm-to-the World  Industri halal sedang berkembang pesat dan kini sudah bertapak di persada global. Bermula dari pengenalan s...