Baru-baru ini telah ditularkan sebuah artikel (The Scoop) mengenai penemuan unsur yang tidak halal terhadap gula-gula berjenama White Rabbit. Dalam artikel berkenaan, ia menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam (MoRA) telah menemui protein khinzir melalui pengujian makmal dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan. Gula-gula ini umumnya dipasarkan meluas di rantau Asia Tenggara dan mudah didapati dalam pasaran termasuk Malaysia. Uniknya, gula-gula ini mempunyai pembalut yang diperbuat daripada kertas kanji jagung (corn starch paper).
Penulis terpanggil untuk menuliskan makalah berkaitan insiden ini, akan tetapi fokus penulis adalah kepada sains halal, tidak kepada produk secara mendalam memandangkan ianya adalah bidangkuasa JAKIM. Penulis mendapati, terdapat banyak maklumat yang kita dapat kupaskan melalui insiden seperti ini. Oleh yang demikian, penulis menggunakan pendekatan soal-jawab dalam mengupas aspek sains dalam isu ini. Semoga ia bermanfaat kepada seluruh masyarakat.
Apakah yang berlaku sebenarnya?
Laporan autoriti Brunei Darussalam menyatakan ditemui protein khinzir di dalam produk berkenaan. Pihak MoRA telah mengarahkan penarikan kembali produk dari pasaran (product recall). Ini merupakan prosedur bilamana berlakunya insiden pencemaran oleh unsur yang tidak halal dalam pasaran (dalam kes ini, Brunei). Sememangnya, akan berlaku kerugian di pihak peruncit, pengeluar apabila insiden pencemaran berlaku, tetapi ianya prosedur mustahak agar ia tidak mencemari produk lain dan siasatan dapat dijalankan.
Pihak manakah yang sepatutnya bertindak?
JAKIM sentiasa komited untuk mengendalikan hal ehwal halal di Malaysia agar pengguna Muslim dapat memenuhi tuntutan syara’ mencari makanan halalan toyyiban. Berkenaan dengan insiden ini perlu difahami beberapa perkara iaitu pertama, pensijilan halal adalah bersifat sukarela (voluntary). Hanya yang memiliki sijil halal sahaja dapat dibuat siasatan di bawah bidang kuasa JAKIM secara langsung. Selain itu, kes seperti penggunaan logo halal palsu boleh diambil tindakan oleh JAKIM (bersama dengan agensi kerajaan lain seperti KPDNHEP), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana telah diperuntukkan undang-undang penggunaan logo halal. Di samping itu, hanya analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia (diakreditasi ISO/IEC17025) sahaja yang diterima untuk sebarang keputusan atau pendakwaan di Mahkamah. Ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengguna.
Menurut laporan, yang ditemui itu adalah protein. Apa itu protein?
Protein merupakan unsur biokimia yang sangat penting dalam fisiologi tubuh badan organisma hidup. Protein adalah nutrien yang diperlukan oleh badan manusia. Unit asas protein adalah dinamakan sebagai asid amino. Fungsi protein adalah begitu meluas bergantung kepada jenisnya, tetapi secara umumnya ia penting untuk pembinaan otot tisu dan merupakan pembekal tenaga di samping karbohidrat. Asid amino yang bercantum membentuk rantaian yang panjang disebut sebagai protein. Setiap unit asid amino dihubungkan dengan ikatan kimia yang dinamakan ikatan peptida (peptide bonds). Apabila kita menyebut protein dalam produk makanan, bahan yang banyak digunakan adalah gelatin. Dalam konteks produk gula-gula, gelatin digunakan untuk mendapatkan tekstur kenyal dan lembut kerana ia berfungsi sebagai agen pengagar (gelling agent). Sumber utama gelatin adalah haiwan (lembu dan khinzir); ia diekstrak dari bahagian haiwan seperti kulit dan tulang melalui proses hidrolisis (hydrolysis) kolagen. Maka, ia merupakan cabaran umat Islam untuk memastikan makanan yang dimakan itu adalah gelatin yang disahkan halal.
Bagaimana dapat kita mengesan protein dalam produk makanan?
Terdapat pelbagai kaedah dan instrumen dalam mengesan protein yang spesifik di dalam produk makanan. Antara cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan kit pengesanan khinzir (porcine detection kit). Kit ini mempunyai penunjuk - immunochromatographic (yang bertindak seperti kertas litmus) yang akan berubah warna jika sampel yang diuji positif khinzir. Mekanisme pengesanan kit ini dinamakan sebagai immunoassay iaitu ia menguji kehadiran protein antibodi dan tindak balas antigen akan membawa kepada perubahan warna pada penunjuk. Selain daripada itu, antara instrumen yang digunakan adalah Gas Chromatography (GC) dan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR).
Adakah DNA sama dengan protein?
Tidak. DNA adalah singkatan kepada asid deoksiribonukleik. Unit asas DNA adalah nukleotida, sedangkan protein adalah asid amino. DNA adalah molekul yang menyimpan maklumat keturunan dan arahan genetik yang penting dalam tumbesaran, fungsi tubuh, pembiakan seluruh organisma hidup. Sungguhpun demikian, DNA juga dijadikan sebagai unsur pengujian dalam analisis makmal kerana integriti DNA lebih kukuh dan rentan (masih utuh) walaupun telah mengalami proses yang berganda. DNA dapat dikesan melalui kaedah polymerase chain reaction (PCR) dan instrumen real-time PCR. Bacaan rt-PCR akan membolehkan kehadiran unsur khinzir dikesan serta merta tanpa perlu proses gel elektroforesis.
Sebagai pengguna Muslim, apa yang harus dilakukan?
Bertenang. Dapatkan maklumat dengan menghubungi Bahagian Hab Halal JAKIM untuk kepastian. Setelah itu, buatlah pilihan bijak dengan mengambilkira objektif pensyariatan halalan toyyiban. Memandangkan laporan asal adalah dari negara jiran, adalah sangat baik untuk kita mengambil langkah ihtiyat (keberhati-hatian) dan mengambil langkah wara’ apabila berlaku syubhah dalam memilih makanan.
Sekadar itu dahulu perkongsian kali ini.
Wallahua’alam.
Muhamad Afiq Abd Razak
BAppSc.Is Stud. (Biotechnology)(UM), M.Is. (Fiqh & Usul)(UM)
UiTM Shah Alam
16 Ramadhan 1440H
Rujukan:https://thescoop.co/2019/05/19/white-rabbit-sweets-not-halal-says-mora/?fbclid=IwAR0vTw6XVbDGmcOkCAUKAkzNe5-Vx70pP1CY2qlQwpyaKFl182C04NF0JmU
No comments:
Post a Comment