Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Tuesday, 28 May 2019

Sesi Konsultasi DMS Code of Practice for Halal Professional (28 Mei 2019)

Ucapan Aluan 
Intisari penting Ucapan Aluan YBhg. Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, MS Code of Practice dan wakil Jabatan Standard Malaysia 

1. Jabatan Standard Malaysia merupakan badan yang ditubuhkan bagi membangunkan standard dan mempromosikan standard di Malaysia melalui peruntukan Akta 549. (Lihat: pautan)
2. Jabatan Standard Malaysia kini tidak lagi berada di bawah Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) akan tetapi sudah berada di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
3. Sesi ini memfokuskan untuk mendapatkan input-input dari pihak berkepentingan dari sektor halal (badan kerajaan, industri, universiti) dan menjawab komen terhadap deraf dalam tempoh ulasan. 
4. Sebanyak 26 standard berkenaan halal dibangunkan. 
5. Dibangunkan setelah diambilkira inisiatif Halal Professional Board. Mesyuarat Kumpulan Kerja 2018, deraf ini telah dibentangkan dan diluluskan tertakluk kepada ICI. Deraf MS ini telah diterbitkan pada April 2019. 
6. MS Code of Practice akan digunakan oleh Halal Professional dan merupakan standard pertama di dunia
7. Jabatan Standard Malaysia bertanggungjawab membangunkan standard dan mempromosikan penggunaan standard. Ini bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah unggul dan tidak dipersoalkan kelak jika tidak disaring dan dibangunkan dengan betul. JSM telah menandatangani dengan WTO untuk mengikuti prinsip; salah satunya transparensi. Maka, dengan ini kami membuka ruang untuk komen umum agar standard yang dibangunkan berkredibitili di peringkat kebangsaan, global.
8. Di peringkat antarabangsa, 3 standard kita telah diangkat ke peringkat OIC
9. [Baru] 5 standard baharu akan di promosikan dalam masa terdekat. 

Intisari ucapan pembentangan Pn Fakeeza Borhan, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Standard merangkap Setiausaha Standard Halal

1. TC Management system for Islamic Practice
2. JSM badan standard kebangsaan, untuk MS yang kita sudah revised kita akan buat tour di 5 region. Memainkan peranan penting badan akreditasi kebangsaan. badan pensijilan, makmal, badan pemeriksa seperti PUSPAKOM. 
3. Sebelum ini Industry ISC, ISCI kita guna NSC (National Standard Committee) ISCI telah diberikan tugas memegang polisi, yang sebelum ini tugasan teknikal. Standard Council Majlis ini sebagai penasihat kepada Menteri MITI. Di bawah setiap NSC ada technical committee dan Working Group (WG). 
4. I - Halal Standard (kod dalam ISC)
5. 60 hari (requirement yang ditetapkan oleh WTO) 
6. WG jika tidak boleh terima komen, akan diberikan justifikasi. (Ada MS 3, 4 kali Public Comment). DMS (Deraf Malaysian Standard) bila ISC kita panggil ITMS. 
7. 12-18 bulan jika tiada aral yang melintang untuk hasilkan sesebuah standard. 
8. Modified (tukar certain clausa), indigenous, identical (adopted from international). 
9. Semua halal standard adalah indigenous
10. Objective development: To identify requirement to gain confidence align with halal industry. Maklumat yang disampaikan align dengan industri. Orang luar sentiasa melihat kita. Kalau kita tidak standardize, akan berlaku percanggahan dan dapat informasi yang sama. 

Bergambar dengan Sifu Halal, Ustaz Amri Abdullah (JAKIM)

Monday, 27 May 2019

Makanan Terproses...Toyyibankah?

Siapa yang dapat menolak cheeseburger bersama french fries? Sayangnya banyak ramuan adalah makanan terproses.
Berapakah jenis makanan terproses yang anda dapat kenalpasti dalam foto di atas? 

Malaysia merupakan antara destinasi tarikan utama di rantau ini sebagai 'syurga makanan'. Masyarakat yang berbagai latar belakang di Malaysia menjadikan ia 'melting pot' untuk variasi makanan hasil daripada asimilasi rentas budaya. Kita memang memaknai ungkapan: We love food. Selain daripada makanan tradisional (seperti nasi lemak, chapati, char kuey teow dan seumpamanya) sejenis makanan 'tradisi' alaf baru turut menjadi kesukaan rakyat Malaysia, iaitulah:

 Makanan segera (fast food). 

Hal ini terbukti kerana walaupun masih dalam bulan Ramadhan, rangkaian restoran makanan segera hampir sekali tidak putus-putus pelanggan yang beratur di laluan pandu-lalu (drive-thru). Ditambah pula dengan strategi pengiklanan yang menggiurkan di pelusuk platform maya menjadikan ramai yang mengidam-idamkannya sebagai juadah berbuka. Apa yang menjadi fokus di sini adalah jenis makanan yang disediakan - iaitu makanan terproses. Makanan terproses, tidak terhad kepada rangkaian makanan segera, bahkan lebih meluas, telah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita. Adakah ianya baik untuk kesihatan? Baik, untuk penulisan kali ini, kita akan membincangkan tentang: 

Makanan terproses (processed food).

Makanan terproses telah menempati diet makanan seluruh lapisan masyarakat kita. Namun, apakah kesan memakannya? Sebelum kita pergi lebih mendalam, mari kita kupaskan konsep makanan terproses terlebih dahulu. 

Apakah dia makanan terproses? 

Konsep makanan terproses tidak sepi dari perbahasan dan pertikaian. Bagaimanakah yang dikatakan makanan terproses itu? Adakah hanya bahan mentah sahaja dianggap makanan tidak terproses? Bagaimana pula dengan ulam yang dicelurkan? Bukankah ianya telah melibatkan suatu proses? Bagi menjawab persoalan ini, saintis dan pakar nutrisi mengkelaskan bahan makanan kepada sistem 4-peringkat disebut sebagai NOVA. NOVA, merupakan satu istilah nama (bukan akronim) yang mengklasifikasikan kesemua makanan dan produk makanan kepada 4 kumpulan. NOVA merupakan pengkelasan yang diiktiraf serta digunapakai dalam penyelidikan makanan, penggubalan polisi, dan diaplikasikan oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Food and Agricultur Organization of the United Nation (FAO) dan Pan American Health Organization. Pengkelasan NOVA mengambil kira proses yang terlibat: (i) Proses kimia; (ii) Proses fizikal; (iii) Proses biologikal setelah makanan tersebut masuk ke dalam latar pemprosesan (keluar dari ciri semulajadi). Pengkelasan adalah sebagaimana berikut:

NOVA Kumpulan 1: Makanan yang tidak diproses atau diproses minimal 


Kategori ini adalah jenis makanan iaitu bahagian tumbuhan (biji, buah, daun, batang, akar) atau haiwan (otot, telur, susu) yang boleh dimakan serta fungi (cendawan), algae dan air selepas dikeluarkan secara semula jadi. Ianya melibatkan proses yang paling minimum, maka ianya masih dianggap makanan asli yang hanya melibatkan proses seperti pembuangan ranting, pengeringan, pengisaran, peretakan, penapisan, pembakaran, pendidihan, pempasteuran, penyejukan, pembekuan, peletakan dalam bekas, pek vakum atau penapaian tanpa alkohol. Proses-proses ini tidak melibatkan sebarang penambahan bahan seperti garam, gula, minyak atau lemak terhadap makanan tersebut. Contoh bagi kategori ini adalah: beras, rempah ratus, kekacang, makanan laut. 

NOVA Kumpulan 2: Bahan ramuan kulinari yang diproses


Kategori ini merupakan makanan yang diambil dari Kumpulan 1 atau dari sumber semulajadi melalui proses pressing, penapisan, pengisaran, kering sembur (spray drying). 

NOVA Kumpulan 3: Makanan terproses

Kategori makanan ini adalah produk makanan yang dihasilkan dengan menambahkan gula, minyak, garam atau salah satu makanan kumpulan 1 atau 2. Kebanyakan makanan terproses mempunyai 2 atau 3 bahan ramuan. Proses-proses yang terlibat adalah seperti pengawetan, kaedah memasak, dan penapaian tanpa-alkohol. 

NOVA Kumpulan 4: Produk makanan dan minuman ultra-proses 


Makanan kategori ini adalah formulasi industri yang pada kebiasaannya memiliki lima (5) atau lebih bahan ramuan. Hal ini termasuklah gula, minyak, lemak, garam, anti-oksidan, penstabil dan pengawet. 

Thursday, 23 May 2019

Gula-gula Creamy Candy dan Sains Halal

Baru-baru ini telah ditularkan sebuah artikel (The Scoop) mengenai penemuan unsur yang tidak halal terhadap gula-gula berjenama White Rabbit. Dalam artikel berkenaan, ia menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam (MoRA) telah menemui protein khinzir melalui pengujian makmal dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan. Gula-gula ini umumnya dipasarkan meluas di rantau Asia Tenggara dan mudah didapati dalam pasaran termasuk Malaysia. Uniknya, gula-gula ini mempunyai pembalut yang diperbuat daripada kertas kanji jagung (corn starch paper). 

Penulis terpanggil untuk menuliskan makalah berkaitan insiden ini, akan tetapi fokus penulis adalah kepada sains halal, tidak kepada produk secara mendalam memandangkan ianya adalah bidangkuasa JAKIM. Penulis mendapati, terdapat banyak maklumat yang kita dapat kupaskan melalui insiden seperti ini. Oleh yang demikian, penulis menggunakan pendekatan soal-jawab dalam mengupas aspek sains dalam isu ini. Semoga ia bermanfaat kepada seluruh masyarakat. Apakah yang berlaku sebenarnya? Laporan autoriti Brunei Darussalam menyatakan ditemui protein khinzir di dalam produk berkenaan. Pihak MoRA telah mengarahkan penarikan kembali produk dari pasaran (product recall). Ini merupakan prosedur bilamana berlakunya insiden pencemaran oleh unsur yang tidak halal dalam pasaran (dalam kes ini, Brunei). Sememangnya, akan berlaku kerugian di pihak peruncit, pengeluar apabila insiden pencemaran berlaku, tetapi ianya prosedur mustahak agar ia tidak mencemari produk lain dan siasatan dapat dijalankan.  

Pihak manakah yang sepatutnya bertindak? 

JAKIM sentiasa komited untuk mengendalikan hal ehwal halal di Malaysia agar pengguna Muslim dapat memenuhi tuntutan syara’ mencari makanan halalan toyyiban. Berkenaan dengan insiden ini perlu difahami beberapa perkara iaitu pertama, pensijilan halal adalah bersifat sukarela (voluntary). Hanya yang memiliki sijil halal sahaja dapat dibuat siasatan di bawah bidang kuasa JAKIM secara langsung. Selain itu, kes seperti penggunaan logo halal palsu boleh diambil tindakan oleh JAKIM (bersama dengan agensi kerajaan lain seperti KPDNHEP), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana telah diperuntukkan undang-undang penggunaan logo halal. Di samping itu, hanya analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia (diakreditasi ISO/IEC17025) sahaja yang diterima untuk sebarang keputusan atau pendakwaan di Mahkamah. Ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengguna. 

Menurut laporan, yang ditemui itu adalah protein. Apa itu protein? 

Protein merupakan unsur biokimia yang sangat penting dalam fisiologi tubuh badan organisma hidup. Protein adalah nutrien yang diperlukan oleh badan manusia. Unit asas protein adalah dinamakan sebagai asid amino. Fungsi protein adalah begitu meluas bergantung kepada jenisnya, tetapi secara umumnya ia penting untuk pembinaan otot tisu dan merupakan pembekal tenaga di samping karbohidrat. Asid amino yang bercantum membentuk rantaian yang panjang disebut sebagai protein. Setiap unit asid amino dihubungkan dengan ikatan kimia yang dinamakan ikatan peptida (peptide bonds). Apabila kita menyebut protein dalam produk makanan, bahan yang banyak digunakan adalah gelatin. Dalam konteks produk gula-gula, gelatin digunakan untuk mendapatkan tekstur kenyal dan lembut kerana ia berfungsi sebagai agen pengagar (gelling agent). Sumber utama gelatin adalah haiwan (lembu dan khinzir); ia diekstrak dari bahagian haiwan seperti kulit dan tulang melalui proses hidrolisis (hydrolysis) kolagen. Maka, ia merupakan cabaran umat Islam untuk memastikan makanan yang dimakan itu adalah gelatin yang disahkan halal. 

Bagaimana dapat kita mengesan protein dalam produk makanan? 

Terdapat pelbagai kaedah dan instrumen dalam mengesan protein yang spesifik di dalam produk makanan. Antara cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan kit pengesanan khinzir (porcine detection kit). Kit ini mempunyai penunjuk - immunochromatographic (yang bertindak seperti kertas litmus) yang akan berubah warna jika sampel yang diuji positif khinzir. Mekanisme pengesanan kit ini dinamakan sebagai immunoassay iaitu ia menguji kehadiran protein antibodi dan tindak balas antigen akan membawa kepada perubahan warna pada penunjuk. Selain daripada itu, antara instrumen yang digunakan adalah Gas Chromatography (GC) dan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR). 

Adakah DNA sama dengan protein? 

Tidak. DNA adalah singkatan kepada asid deoksiribonukleik. Unit asas DNA adalah nukleotida, sedangkan protein adalah asid amino. DNA adalah molekul yang menyimpan maklumat keturunan dan arahan genetik yang penting dalam tumbesaran, fungsi tubuh, pembiakan seluruh organisma hidup. Sungguhpun demikian, DNA juga dijadikan sebagai unsur pengujian dalam analisis makmal kerana integriti DNA lebih kukuh dan rentan (masih utuh) walaupun telah mengalami proses yang berganda. DNA dapat dikesan melalui kaedah polymerase chain reaction (PCR) dan instrumen real-time PCR. Bacaan rt-PCR akan membolehkan kehadiran unsur khinzir dikesan serta merta tanpa perlu proses gel elektroforesis. 

Sebagai pengguna Muslim, apa yang harus dilakukan? 

Bertenang. Dapatkan maklumat dengan menghubungi Bahagian Hab Halal JAKIM untuk kepastian. Setelah itu, buatlah pilihan bijak dengan mengambilkira objektif pensyariatan halalan toyyiban. Memandangkan laporan asal adalah dari negara jiran, adalah sangat baik untuk kita mengambil langkah ihtiyat (keberhati-hatian) dan mengambil langkah wara’ apabila berlaku syubhah dalam memilih makanan. Sekadar itu dahulu perkongsian kali ini. Wallahua’alam. 

Muhamad Afiq Abd Razak 
BAppSc.Is Stud. (Biotechnology)(UM), M.Is. (Fiqh & Usul)(UM) 
UiTM Shah Alam 
16 Ramadhan 1440H  

Rujukan:https://thescoop.co/2019/05/19/white-rabbit-sweets-not-halal-says-mora/?fbclid=IwAR0vTw6XVbDGmcOkCAUKAkzNe5-Vx70pP1CY2qlQwpyaKFl182C04NF0JmU

CONCEPT OF TAKHAYYUR

CONCEPT OF TAKHAYYUR   by Muhamad Afiq Abd Razak In jurisprudence Islam ( fiqh) there are concept in which jurists ( fuqaha' ) discussed...