Halal From Farm-to-the World
Industri halal sedang berkembang pesat dan kini sudah bertapak di persada global. Bermula dari pengenalan sijil dan logo halal, ia telah menjadi satu bentuk pengiktirafan yang berprestij terhadap jaminan kualiti serta lambang pematuhan syariah dalam penghasilan produk. Perkembangan industri halal tidak lagi tertumpu kepada produk makanan, malah kini sudah berkembang kepada farmaseutikal, barangan kepenggunaan, peranti perubatan, dan perkhidmatan. Pencapaian pensijilan Halal Malaysia turut memberangsangkan dan dilihat sebagai perintis di peringkat dunia di samping dihormati warga dunia sebagai entiti pensijilan yang mempunyai kekuatan yang tersendiri dan juga dikenali sebagai lambang pensijilan yang utuh dan wibawa. Pencapaian ini semua adalah hasil dari kegigihan dan sumbangan pelbagai pihak, dalam merangka dan menyusun pelan strategik, governans/tatakelola halal yang terdiri dari agensi kerajaan, pemain industri, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, pakar-pakar di lapangan dan berbagai lagi yang sentiasa memperbaharui dan menambahbaik piawaian halal negara. Maka, adalah cukup bermanfaat bagi kita untuk mengetahui serba sedikit beberapa bentuk perancangan strategik halal yang telah atau sedang dibangunkan agar dapat kita melihat betapa tingginya wawasan negara dalam memartabatkan pensijilan halal serta memandu hala tujunya. Dalam penulisan ini, hanya diperkenalkan kepada dua (2) sahaja dasar atau perancangan strategik yang telah diperkenalkan iaitu: Halal Industry Master Plan (HIMP) dan Dasar Halal Negara (DHN).
1. Halal Industry Master Plan (HIMP 2030)/ Pelan Induk Industri Halal 2030
Pelan Induk Industri Halal 2030 telah dilancarkan pada Mac 2023 dan dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa (Ministry of International Trade and Industry-MITI) dan agensi Halal Development Corporation (HDC) bertujuan bagi memangkin industri halal negara menjadi peneraju global. Ianya turut bertujuan bagi memastikan pencapaian industri halal negara mencapai kesejahteraan pertumbuhan sosio-ekonomi negara. Selain itu, ia dilaksanakan bagi memastikan ekosistem halal yang dibangunkan dapat memanfaatkan dan mengoptimumkan potensi dan kekuatan yang ada agar kukuh sehingga menjelang tahun 2030. HIMP merupakan penyelarasan di bawah dasar New Industrial Master Plan (NIMP) yang memfokuskan kepada pembangunan industri negara. Bagaimana HIMP 2030 digerakkan? Melalui cetak-biru (blueprint) pemacuan industri halal dapat digerakkan melalui (1) membangunkan kerangka strategik: Iaitu menyusun enam sasaran utama seperti polisi, pasaran, kualiti, infrastruktur, dan penyertaan bumiputera; (2) mengenalpasti key enabler: iaitu mengenalpasti komponen-komponen penting yang dapat menghubungkan di antara kerangka strategik seperti teknologi jejak kesan, bakat halal, standard dan pensijilan, kewangan Islam dan logistik; (3) mengusulkan inisiatif 'super catalytic': iaitu merencana inisiatif seperti kerangka kerjaya halal, pembangunan perusahaan bumiputera, zon digital muamalat, (4) menubuhkan penggerak iaitu Majlis Pembangunan Industri Halal: iaitu satu jawatankuasa yang terdiri dari pelbagai agensi serta memiliki empat jawatankuasa tindak seperti pensijilan dan penguatkuasaan [diketuai oleh JAKIM], pembangunan standard [diketuai oleh Jabatan Standard Malaysia], pembangunan industri dan keusahawanan [diketuai oleh SMECorp], pengantarabangsaan [diketuai oleh MITI] dan (5) menetapkan 'key indicator' menjelang tahun 2030 iaitu pencapaian kepada: hasil pelaburan kumulatif HALMAS, keuntungan ekonomi, nilai eksport, output kasar (gross output) dan jumlah tenaga kerja halal. Secara ringkasnya, tujuan utama HIMP adalah menguatkan dan mengantarabangsakan ekosistem halal di Malaysia melalui penilaian semula dan memperbaiki inisiatif-inisiatif sedia ada, begitu juga memperkenalkan inisiatif berimpak tinggi selari dengan hala tuju kerajaan, di samping mempasakkan kapital melalui peluang 'leverage' kekuatan infrastruktur industri halal Malaysia ke arah menjadi peneraju industri halal di peringkat global.
2. Dasar Halal Negara (DHN) 2035
- Dasar baharu sistem perundangan dan kawal selia
- Pensijilan Halal Malaysia dan penyelarasan bersama pihak agama Negeri
- Pengiktirafan pihak berautoriti dan badan pensijilan halal luar negara
- Teknologi dan inovasi
- Kepenggunaan
- Pengurusan produk dan perkhidmatan import
- Pandangan hukum dan fatwa
- Penyelidikan halal dan analisis makmal
- Bakat halal
- Manfaat dan pulangan ekonomi
- Pemerkasaan industri halal dalam kalangan bumiputera
Afiqhalal 2025